Thursday, 18 October 2012

Siri 3 : Bukan Penghalang


Siri 3

Ketakutan itu tidak salah, namun jangan jadikan ia sebagai penghalang 
untuk terus melangkah ke hadapan...





Minggu ini merupakan minggu yang sangat sibuk dia rasakan. Manakan tidak, tiga hari berturut-turut dia perlu bertungkus lumus mempersiapkan diri bagi menghadapi ujian pertama pada semester ini. Kali ini dia dapat rasakan perbezaannya. Perasaan malas tidak lagi menyelubungi dirinya. Semangat mujahadahnya semakin menebal. Hanya satu niatnya, iqtikad mencari redha Ilahi.

Hanya tinggal satu paper saja lagi yang perlu di ulangkaji untuk keesokan hari. BEX17003, Electrical Engineering. Mata pelajaran yang agak asing buat dirinya. Kurang dari tempoh 24 jam dia akan menduduki paper tersebut. Strategi yang pada awalnya di susun mula goyah tatkala keliru datang menjengah. Di rasakan sukar untuk dia memahami bait-bait litar yang penuh dengan misteri yang tersembunyi. Jarum masa pada skrin laptopnya menunjukkan tepat jam 12 pagi. Mujahadahnya mula beristikharah.

Keesokan harinya, Ya Rabb, permudahkanlah urusanku bisik benaknya. Mana mungkin dia mahu mengalah dengan nafsunya. Seminggu sebelumnya, sudah awal-awal lagi dia beritahu kepada emak tentang tarikh itu. Jika emak di rumah sudah bersedia melapangkan waktu untuk membaca isi jantung kalamullah (Surah Yassin) masakan dia mahu mengalah.

Seperti pesan emaknya tiap kali hendak mengahadapi peperiksaan, harus di maklumkan hari dan tarikhnya. Kata emak, dia hanya mampu menolong dari jauh selebihnya bergantung kepada usaha dia dan bertawakal kepada Allah.

Emak dan abahnya sangat menitik beratkan  soal pelajaran. Ingat lagi pesan abah, “ abah tak mahu beri kemewahan kepada anak-anak abah, tapi abah bagi pelajaran. Pandulah hidup berdasarkan ilmu yang ada. Ilmu agama abah dah bagi,ilmu dunia juga abah dah bagi” . Lebih kurang begitu lah bunyinya.

Masih dia ingat lagi, pada ketika dia hendak memasuki alam pekerjaan. Tinggal berjauhan dari keluarga walaupun abah berat hendak melepaskan, tapi demi masa hadapan dan sebagai tanda sokongan terhadap minat anaknya, abah lepaskan jua dia berdikari. Di saat perpisahan, abah kirimkan satu buku muka hadapannya bertajuk “ Hidup Ibadat” tulisan Ustaz Haji Fadzil Haji Ahmad. Bagai hendak mengalir air mata di saat itu. 

Abah bukan seorang guru agama namun Islamnya juga tidak di pandang rendah. Masih ingat lagi, ketika kecil abah bersusah payah mencari guru agama dan berulang alik menghantar kami adik beradik untuk menghabiskan al-Quran. Kini,apabila sudah dewasa baru dia memahami mengapa abahnya sanggup bersusah payah suatu ketika dulu.

Jauh di sudut hati dia mensyukuri nikmat mereka di sisi. Tanpa doa seorang ibu dan redha seorang bapa mana mungkin dia dapat jejakkan kaki di menara gading seperti hari ini. 

Lamunannya terhenti tatkala telefon berdering...


(bersambung)









No comments:

Post a Comment