Siri 3
Ketakutan itu tidak salah, namun jangan jadikan ia sebagai penghalang
untuk terus melangkah ke hadapan...
Minggu ini merupakan minggu yang sangat sibuk dia rasakan. Manakan tidak,
tiga hari berturut-turut dia perlu bertungkus lumus mempersiapkan diri bagi
menghadapi ujian pertama pada semester ini. Kali ini dia dapat rasakan
perbezaannya. Perasaan malas tidak lagi menyelubungi dirinya. Semangat
mujahadahnya semakin menebal. Hanya satu niatnya, iqtikad mencari redha Ilahi.
Hanya tinggal satu paper saja lagi yang perlu di ulangkaji untuk keesokan
hari. BEX17003, Electrical Engineering. Mata pelajaran yang agak asing buat
dirinya. Kurang dari tempoh 24 jam dia akan menduduki paper tersebut. Strategi
yang pada awalnya di susun mula goyah tatkala keliru datang menjengah. Di
rasakan sukar untuk dia memahami bait-bait litar yang penuh dengan misteri yang
tersembunyi. Jarum masa pada skrin laptopnya menunjukkan tepat jam 12 pagi. Mujahadahnya
mula beristikharah.
Keesokan harinya, Ya Rabb, permudahkanlah urusanku bisik benaknya. Mana
mungkin dia mahu mengalah dengan nafsunya. Seminggu sebelumnya, sudah awal-awal
lagi dia beritahu kepada emak tentang tarikh itu. Jika emak di rumah sudah bersedia
melapangkan waktu untuk membaca isi jantung kalamullah (Surah Yassin) masakan
dia mahu mengalah.
Seperti pesan emaknya tiap kali hendak mengahadapi
peperiksaan, harus di maklumkan hari dan tarikhnya. Kata emak, dia hanya mampu
menolong dari jauh selebihnya bergantung kepada usaha dia dan bertawakal kepada
Allah.
Emak dan abahnya sangat menitik beratkan soal pelajaran. Ingat lagi pesan
abah, “ abah tak mahu beri kemewahan
kepada anak-anak abah, tapi abah bagi pelajaran. Pandulah hidup berdasarkan
ilmu yang ada. Ilmu agama abah dah bagi,ilmu dunia juga abah dah bagi” .
Lebih kurang begitu lah bunyinya.
Masih dia ingat lagi, pada ketika dia hendak memasuki alam pekerjaan. Tinggal
berjauhan dari keluarga walaupun abah berat hendak melepaskan, tapi demi masa
hadapan dan sebagai tanda sokongan terhadap minat anaknya, abah lepaskan jua
dia berdikari. Di saat perpisahan, abah kirimkan satu buku muka hadapannya
bertajuk “ Hidup Ibadat” tulisan Ustaz Haji Fadzil Haji Ahmad. Bagai hendak
mengalir air mata di saat itu.
Abah bukan seorang guru agama namun Islamnya juga tidak
di pandang rendah. Masih ingat lagi, ketika kecil abah bersusah payah mencari
guru agama dan berulang alik menghantar kami adik beradik untuk menghabiskan
al-Quran. Kini,apabila sudah dewasa baru dia memahami mengapa abahnya sanggup
bersusah payah suatu ketika dulu.
Jauh di sudut hati dia mensyukuri nikmat mereka di sisi. Tanpa doa
seorang ibu dan redha seorang bapa mana mungkin dia dapat jejakkan kaki di
menara gading seperti hari ini.
Lamunannya terhenti tatkala telefon berdering...
(bersambung)
No comments:
Post a Comment